Friday, February 17, 2012

Vakum Diri Kotor

Hari ini semasa mengemas dan membersihkan rumah, Allah memberikan peringatan dalam bentuk yang tidak disedari. Disebabkan lantai dan karpet rumah yang sedikit berhabuk, maka, penyedut vakum ku ambil dari tempat yang selalunya ia disimpan.

Maka, tengah hari itu puas aku memvakum seluruh rumah kecil dan comel itu dari ruang tamu, bilik hinggalah ke dapur. Setelah hampir 30 minit memvakum rumah, hati terasa puas melihatkan karpet dan lantai yang lebih bersih dan kemas.

Memang menjadi rutin harian untuk ku memvakum seluruh ruang rumah sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memastikan ia sentiasa bersih. Sewaktu ingin meletakkan semula vakum itu ke tempat biasanya, barulah ku sedari rupa-rupanya, tempat vakum itu disimpan sangatlah berhabuk dan baru ku teringat rupanya aku tidak pernah membersihkan ruang itu.

Lalu, aku berdiri sejenak dan bermuhasabah.

Sungguh, vakum itu berusaha membersihkan kekotoran yang melekat disegenap ruang rumah yang jauh dari dirinya, namun terlupa sekeliling kawasan tempat dia berdiri sendiri penuh kekotoran yang lupa untuk dia sendiri bersihkan.

Lebih menyedihkan, dalam diri dan perutnya penuh kekotoran yang dia sendiri lupa untuk dia bersihkan sebelum dia keluar membersihkan seluruh ruang rumah.

Allahu Allah.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 44

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal ‘ (Al-Baqarah : 44)

As-Sabuni berkata didalam tafsirnya, Safwah Al-Tafasir bahawa ayat ini diturunkan dimana Allah menempelak kaum Bani Israel kerana tingkahlaku dan perangan mereka yang kerap menyuruh orang lain melakukan kebaikan, sedangkan mereka enggan melakukannya. Mereka juga menyeru kearah petunjuk dan hidayah, sebaliknya mereka ingkar.

Al-Imam As-Sawi pula berkata bahawa ayat ini diturunkan kepada sebahagian Ulama yahudi yang berkata kepada kaum kerabat mereka yang islam, “ Tetaplah kamu atas agama Muhammad kerana sesungguhnya ia benar. Mereka menyeru manusia supaya beriman sedangkan mereka tidak melakukannya, lantas diturunkan ayat tersebut”

As-Samarqandi di dalam tafsirnya, Bahr al-Ulum menaqalkan pendapat Qatadah yang berkata: “Ayat ini menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyuruh melakukan kebaikan, hendaklah dia sendiri suka mendahuluinya dan mengerjakannya.

Sebaliknya, sesiapa yang melarang melakukan kejahatan, hendaklah dia yang paling awal menjauhkannya.” Kemudian beliau menyebut satu hadis yang diriwayatkan daripada Anas katanya: “Apabila Rasulullah dimikrajkan, Baginda melalui satu kaum yang bibir mereka digunting dengan gunting dari neraka. Lantas Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka ini?” Jawab Jibril: “Mereka ini umatmu yang menyuruh manusia berbuat baik, sedangkan mereka lupa diri mereka sendiri.”

Allah s.w.t. meneruskan lagi persoalannya seraya bertanya: `Sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri’, iaitu kamu meninggalkan tanpa beriman dan tanpa melakukan kebajikan.

Muhammad bin Wasi’ menyebut: “Telah sampai kepadaku perkhabaran bahawa kepada ahli syurga diperlihatkan ahli neraka, lantas mereka berkata: “Sesungguhnya kamu dahulu di dunia telah menyuruh kami taat dan kami melakukannya hingga layak kami masuk syurga.” Kemudian jawab ahli neraka: “Benar dulu kami menyuruh kamu mengerjakannya tetapi kami sendiri tidak melakukannya.”

Sayid Qutub berkata di dalam tafsirnya, Fi Zilal al-Quran: “Bersama dengan nas al-Quran ini yang menentang keadaan yang berlaku kepada Bani Israel, sesungguhnya isyarat ini juga kepada seluruh manusia termasuk ulama dan cendekiawan agama dengan sifat yang khusus, tanpa mengkhususkannya kepada sesuatu kaum atau generasi. Sesungguhnya kebinasaan golongan agama ialah kerana agama dijadikan sebagai pekerjaan dan amalan, bukan lagi bersifat akidah. Mereka hanya berkata dengan mulut tetapi tidak ada di dalam hati mereka. Mereka menyeru kepada kebaikan sedangkan mereka tidak melakukannya.

Allahu Allah. Adakah aku sendiri telah menjadi vakum kotor yang membersihkan ruang rumah tetapi terlupa akan dirinya sendiri. Banyak muhasabah diri yang perlu dilakukan.

Maka, aku meningatkan diriku sendiri dan para daei sekalian, agar kita senantiasa memperbaiki diri kita sendiri agar kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi agar kelak kita tidak dicampakkan ke neraka kerana usaha dakwah kita yang hanay dituding pada orang lain tetapi bukan diri.

Ayuh, jangan kita seperti vakum diri yang kotor, tetapi jadilah vakum diri yang bersih walaupun menyerap kekotoran jahiliyah, namun senantiasa kita bersihkan jiwa dan diri dengan mendekatkan diri pada Allah.


Monday, February 13, 2012

kutip dosa (pesanan diri yang alpa)


Kaki melangkah, tangan berarak,

Menempa hidup penuh sia,

Mata memandang, kelopak dipejam,

Lupa akan ajal ada,

Tanpa disangka dipanggil tiba,

Telinga mendengar, deria merasa,

Meracun fikiran tanpa makna,

Akal meneka, hati bercinta,

Syurga Cinta impian sukma,

Lidah berkata, bibir berbicara,

Lidah yang sama, Bibir yang sama,

Mengucap Syahadah mencipta Dusta

Mencampak pahala entah kemana,

Nanti timbang berat padahnya,

Neraka Jahanam membakar selamanya