Monday, October 31, 2011

Jalan Keluar





Syeikh Ibnul Jauzi berkata: “Ketika aku berdepan dengan satu masalah yang menyesakkan dada sekian lama,aku berusaha menyelesaikan kebingungan ini dengan berfikir keras. Begitu keras pun aku berfikir,namun tidak aku temukan jawapan penyelesaiannya padanya..Kemudian aku ditunjukkan sebuah ayat:

“Sesiapa yang bertakwa kepada Allah swt, maka akan diberikan kepadanya jalan keluar?” (Surah At-Talaq:ayat 2)
Selepas itu aku sedar bahawa ketakwaan adalah jalan keluar dari kebingungan. Itu sebabnya aku berusaha meningkatkan ketaqwaanku dan kutemukanlah jalan keluar.
Aku pun mengambil kesimpulan: Kebaikan bagi orang yang berakal adalah ketaqwaan. Tidak adanya seksa kecuali kerana adanya dosa dan tidak ada seorang pun diangkat darjatnya kecuali jalan bertaubat. Sesungguhnya kekeruhan fikiran,kesedihan dan kegelisahan adalah akibat perbuatan maksiat yang anda lakukan, seperti leka dalam sembahyang, meremehkan hijab atau melakukan hal-hal yang diharamkan oleh Allah swt.
Sesungguhnya,siapa yang melanggar ketentuan Allah terpaksa membayar harga perbuatannya dan perlu melangsaikan kelalaiannya. Yang menciptakan kebahagiaan adalah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani, lalu mengapa anda memohon kepada yang lain? Jika manusia yang menguasai kebahagiaan,maka tidak ada orang yang miskin, orang yang sedih dan orang yang gundah gulana. Allah swt sumber kebahagiaan.
Kadangkala, dalam kehidupan di bawah minda sedar kita, segala kegelisahan dan kegundahan hati yang melanda adalah berpunca dari diri kita sendiri. Dari hal itulah,datangnya keperluan untuk membiasakan koreksi diri. Banyak faktor yang mempengaruhi suasana hati kita dan antara salah satu faktor yang kuat mempengaruhinya adalah perbuatan dosa kita.
Sudah lumrah anak Adam, mudah tergelincir di bawah pengaruh nafsu dan lupa adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan. Tapi, sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jalan taubat sentiasa terbuka luas,malah Rasulullah saw sendiri bersabda:

“Setiap anak Adam pasti sering melakukan dosa dan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang rajin bertaubat”. (HR. Tirmidzi, Ibnu Majah, Hasan)

Mungkin dengan hanya lafaz kalimah Istighfar yang begitu ringan di bibir namun jika disertai
dengan penyesalan yang bersungguh diiringi dengan iltizam untuk terus menjadi hamba yang soleh, siapa tahu itu penawar paling mujarab yang kita carikan selama ini.

Wallahu’alam

Dipetik dan diolah dari Buku: Motivasi menjadi Wanita Paling Bahagia.